Saturday, December 29, 2012

Jadilah Seorang Pemaaf


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejatera,

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia adalah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Ketika manusia diciptakan oleh Allah SWT, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang juga disebut sebagai sifat yang hampir di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah ali-Imran ayat 132)

Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan. Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang.

Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang. Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan yang mudah dilakukan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura ayat 43)

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Bukan penyelesaian

Emosi manusia pula memang mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangannya logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang lojik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan penyelesaian masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga berlakunya pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan  (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, Nabi menjawab ringkas iaitu “jangan marah”. Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya buat kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah SAW tetap mengulangi perkataan “jangan marah”. Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadah wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perakara yang ditegah, termasuklah sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang, hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalulah cuba memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil. Bagi orang yang bersifat pemaaf, tiada tersimpan perasaan marah dalam hatinya. Sebab itu, hati orang yang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Hati tidak tenteram

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca dari sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam.

Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini sudahpun selesai. Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati adakah perkara itu berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu, syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang brsifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Renung-renungkan…

No comments: